UCAPAN ‘Assalamualaikum’ boleh jadi asing bagi segelintir masyarakat berikutan mereka sudah terbiasa mengucapkan ‘hai’ atau ‘bye-bye’ apabila bertemu dan berpisah sehingga ucapan salam yang mulia dipinggirkan.
Perlu difahami betapa ucapan salam yang disyariatkan mempunyai impak yang sangat besar dalam memelihara hubungan ukhuwah sesama manusia.
Malah, ucapan berkenaan dinilai sebagai ibadat dalam konteks mengamalkan sunnah warisan agung tinggalan Rasulullah.
Dalam sebuah hadis, Baginda Nabi Muhammad diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi pun bersabda “Sebarkanlah salam di kalangan kamu”. (Hadis riwayat Muslim)
Dalam sebuah hadis, Baginda Nabi Muhammad diriwayatkan bersabda dengan maksudnya “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta-mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Para sahabat menjawab ya wahai Rasulullah. Nabi pun bersabda “Sebarkanlah salam di kalangan kamu”. (Hadis riwayat Muslim)
Selain itu, ucapan salam yang disertai perbuatan berjabat tangan juga adalah sunnah yang dituntut.
Walaupun demikian ia masih tertakluk kepada hukum bersentuhan antara bukan mahram yang perlu dipelihara.
Dewasa ini amalan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi seakan menjadi perkara biasa, walhal ia adalah perbuatan dosa yang semestinya dijauhi.
Justeru, jangan mudah menghulurkan tangan untuk berjabat tangan dengan sesiapa saja kecuali selepas dipastikan segala ketetapan agama dipatuhi sepenuhnya.
Ataupun jika terdesak untuk berjabat tangan berusahalah untuk mengelak dengan cara yang bijaksana tanpa menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.
Membongkokkan badan sambil berjabat tangan juga adalah perbuatan terlarang.
Ini bagi mengelak wujudnya unsur syirik penyembahan sesama makhluk.
Adapun perbuatan saling berpelukan dan berciuman ketika bertemu adalah diharuskan terutama apabila seseorang pulang daripada musafir yang jauh seperti ketika menyambut kepulangan jemaah haji yang selamat pulang ke tanah air.
Perbuatan berdiri untuk mengagungkan seseorang yang lain juga adalah tidak disukai Rasulullah. Justeru itu, sahabat tidak pernah berdiri apabila melihatnya.
Lalu timbul pula persoalan mengenai bagaimana ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan.
Jawapan kepada persoalan ini boleh dirujuk kepada sebuah riwayat lain yang menyatakan “Bahawa sudah bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya mengucapkan Assalamualaikum. Nabi bersabda “Sepuluh kebaikan”.
Kemudian datang yang lain pula sambil mengucapkan “Assalamualaikum warahmatullah”. Nabi bersabda “Dua puluh kebaikan”.
Kemudian datang yang lain lagi dan mengucapkan “Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh”. Baginda Nabi bersabda “Tiga puluh”. (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmiziy).
Memandangkan betapa hebatnya ucapan salam dan pahala yang disediakan untuknya, umat Islam diseru tidak lagi memandang remeh amalan baik mengucapkan salam ketika bertemu dengan saudaranya yang lain.
Malah, yang terbaik dikalangan mereka adalah yang pertama mengucapkan salam. Ucapan ini juga adalah hak dan tanggungjawab seorang Muslim dengan Muslim lain yang perlu dilunaskan.
Padamasa yang sama janganlah pula kita terlalu mengagungkan ungkapan lain yang tidak bersesuaian dengan kehendak syariat mahupun budaya kesopanan masyarakat Timur.
Begitu juga amalan masyarakat di Barat yang saling berpelukan dan berciuman antara lelaki dan perempuan ketika bertemu tidak kena sama sekali untuk dipraktikkan di negara ini.
Masanya sudah tiba untuk setiap individu Muslim kembali mempraktikkan segala ajaran agama dalam kehidupan seharian mereka.
Ini boleh dilaksanakan dengan mula menyebarluaskan ucapan salam di mana-mana saja.
Melalui pelaksanaan amalan ini juga, umat Islam akan sentiasa dilindungi dan dirahmati kerana saling mendoakan antara satu sama lain.
katak trbang ptt
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU),
Universiti Teknologi Mara (UiTM),shah alam, selangor